Wednesday, April 27, 2011

Jawap tag UmmiHanie

Assalamualaikum semua....

Memang panjang bebenor tag nya, tapi baiklah... tag tu kan macam main kejor-kejor, pastu dapat cuit orang lain, dia la yang jadi. Pastu orang yang kena cuit tu pulak yang kejor orang lain pula. Yati pun tak suka la kena jadi orang tu lama-lama, jadi lebih baik jawap cepat-cepat dan tag orang lain pulak. Boleh ke? Hehehe...

Yati telah di tag oleh Ummi Hanie. Ok... ni Kak Yati jawap yek.

1. Adakah anda rasa anda hot??
 Tak pun. Panas tidak, sejuk tidak, Yang sedang-sedang saja...!

2. Upload gambar wallpaper/pic anda guna sekarang


3. Cerita pasal gambar
Gambar di atas menunjukkan wallpaper netbook saya, merangkap vision board saya. ^_^

4. Bila kali terakhir makan ayam?
Hari Isnin lepas. Tumpang makan nasi minyak Encik Abe beli kat pasor malam, lauk ayam gulai berserta solok lada. Nyum.... nyum...

5. Lagu terakhir yang anda dengar?
Ha? Alamak... sat nak pikio. Ha, dengor Sinar FM pagi tadi, sambil lipat kain, lagu kumpulan AHA. Ntah apa nama tajuk lagu ntah.

6. Apa yang anda buat selain menyelesaikan tag ini?
Cabut rambut gatal.

7. Selain name sendiri, anda dipanggil ape?
Selain nama? Anak-anak panggil saya Mama. Encik Abe panggil Yati Bibi

8. Tag 8 orang
Ha... ni yang malas ni, nak tag-tag orang. Tapi kalau kena tag oleh Yati, minta maaf ya. Kalau busy, tak buat pun takpe.

2. Zila.
5. MP.

9. Siapakah no 1 anda?
Allah SWT.

10. Katakan sesuatu tentang no 5 .
MP Yati baru kenal tahun ni. Orangnya tinggal di Kelantan. :)

11. Orang no 3 berhubungan dengan siapa?
Kak Yus berhubungan dengan anak-anaknya dan keluarga. Berhubungan dengan kita semua di internet melalui blog.

12. Bagaimana pula no 4?
Hajar dah lama kenal, cuma rasanya tahun ni kenal lebih rapat dan selalu berkunjung ke blog Hajar. :)

13. Pesanan buat no 6?
Pesanan buat Fida, semoga terus hasilkan craft, dan hasil crochet yang cun-cun!!! ^_^

14. Kata-kata cinta buat no 2?
Zila, semoga ikatan ikhuwah antara kita terus kekal dan dapat bertukar ilmu dan pendapat secara maya ini.

15. Adakah no 7 dan no 8 mempunyai persamaan?
Kak Mila dan Rafidah Shamsudin punya persamaan, mereka dua-dua wanita berkerjaya.

16. Berikan 5 perkara yang anda tahu tentang no 1.
Dr Hanie yang Yati kenal...
i) punya sepasang cahayamata lelaki dan perempuan yang comel dan chinese look. :)
ii) kawan dengan kawan Yati juga, masa sekolah menengah dulu. Cuma dulu tak kenal, sebab lain sekolah.
iii) Baru balik dari Bali ni. Ada cenderahati pernah terima dari Hanie masa Hanie ke Vietnam, belum sempat frame lagi.
iv) Secara maya, Yati kenal Hanie mula-mula masa anak kedua Hanie, Khayra,  jadi juara dalam MomsBloggerPlanet Cutest Baby of the Planet 2009. Sulaiman pun masuk juga, tapi setakat hadiah saguhati je peringkat bulanan.
v) Seorang yang cantik, putih melepak dan slim, walau pun mak orang. :)

17. Persamaan antara kambing dan lembu?
Tiba-tiba je soalan kambing dan lembu pula. Ok la. Ada 4 kaki, haiwan herbivor dan dagingnya sedap dimakan tapi tak boleh makan selalu. Susunya boleh la minum selalu. Hehhe...

18. Perasaan ketika jawab tag ni?
Hui... panjang bebenor wei. Aku nak pi goreng ikan ni, jap lagi husband balik lunch.

19. Adakah anda tahu Rizman itu sengal?
Siapa itu Rizman? Lawyer? Majistret?

20. Gay or les?
Huh?!!!

Bagi kawan-kawan yang kena tag, kalau jawap, sila la bagitau Yati supaya Yati boleh baca ya. Dan pada kawan yang tak kena tag tapi nak jawap juga, dipersilakan.

Sekian, terima kasih.

Tuesday, April 26, 2011

Bila ketua keluarga tidak solat

Assalamualaikum....

Cerita: Ada satu keluarga, terdiri dari ibu, bapa, dan 5 orang anak lelaki dan perempuan. Anak yang paling sulong dalam sekolah menengah, manakala yang paling kecil, berusia 5 tahun. Bapa budak-budak ni tak pernah menunaikan solat. Solat Jumaat, 3-4 minggu sekali baru pergi. Solat sunat Raya Puasa dan Korban baru dia pergi. Ibu anak-anak ni selalu nasihatkan suami, supaya bertaubat, dan sembahyang. Tapi, tak dilayan langsung oleh si suami.

Anak-anak yang meningkat remaja selalu bertanya pada si ibu, kenapa ayahnya tidak pernah solat? Ibu tak tau nak jawap apa, cuma berkata pada anak-anaknya supaya berdoa, semoga Allah bukakan pintu hati si ayah untuk solat.

Untuk anak yang kecil, si ibu mengajar anak-anak solat dengan cara sembahyang seperti biasa, tapi anak-anak kecil ikut dari belakang, dari segi pergerakan solat, kerana mereka belum boleh baca bacaan dalam sembahyang. Si ibu berasa tidak suka, dan adakala perasaaan benci itu datang mencucuk-cucuk dalam diri kerana si suami tidak pernah mengerjakan solat. Tidakkah si suami berasa apa-apa, bila ibu yang jadi imam dan anak-anak kecil ikut dari belakang, padahal tempat si ibu tu sepatutnya si suami yang buat?


Soalan: Apakah cara terbaik untuk menegur seorang yang telah dewasa supaya solat? Bukannya dia tidak tahu hukum solat itu wajib, tapi dia masih tak nak buat juga. Perlukah si isteri mengadu kepada pihak agama supaya diadakan sesi kaunseling pada si suami?

Si isteri tak kenal mana-mana ustaz yang boleh nasihat suaminya, lantaran kesibukan menguruskan anak-anak dan bekerja juga, tidak pernah solat jemaah di masjid. Suami seorang yang penyayang pada anak-anak, rajin juga menolong buat kerja rumah seperti mencuci kain dan mengemas, cuma tidak pernah solat. Setelah sekian lama mendirikan rumahtangga, si isteri amat berharap suami dapat menjadi imam di rumah semasa solat jemaah di rumah bersama anak-anak. Sekian.

Yati rasa seorang ketua keluarga sepatutnya tunjukkan contoh yang baik pada anak-anak. Tapi, kalau dah si ayah macam ni, susah juga ya. Cuba kita letak diri kita di tempat si isteri. Apa pendapat kawan-kawan?

P/S: Rasa macam blog Probites Et Fides oleh Sahromnasrudin pula. Sebab beliau selalu melayang minda. Banyak info yang kita tak tau pun boleh jadi tahu bila baca blog Sahrom.

Monday, April 25, 2011

Cross stitch birthday card

Assalamualaikum...

Kawan-kawan apa khabar hari ni?

Hari Sabtu lepas, kami ada di Lumut. Pergi fishing, tapi takde rezeki dapat ikan. Kami beli umpan udang hidup. Pertama kali memancing di laut pula. Udang tu, kami tak potong kecil. Sebab kami cuma duduk tepi laut, bukan ke tengah laut. Jadi cuma ikan-ikan kecil la yang banyak. Bila kita tarik pancing tu, boleh nampak ikan-ikan kecil munch-munch umpan udang tu. Seekor pun tak dapat, sebab umpan besar sangat. Ada juga terfikir nak potong udang tu, tapi sebab kita duduk rumah mama Yati, jadi nak fishing lama-lama tak boleh la. Itu pun, dah kena marah dah, pergi fishing tengahari buta. Hehhe...

Hari Ahad, layan anak, nak buat birthday card untuk aunty dia orang. Birthday kakak sulong Yati minggu ni. Ini la dia, kadnya.

Cross stitchnya kecil, kadnya besar. ^_^


Lebih close-up sikit.

Happy bithday, aunty!!


Dalam tu, ada la lukisan-lukisan dan tulisan Amirul dan Hafizan. Sulaiman pun menyibuk sekali nak tulis juga. Tapi tulisan tak boleh baca la. Hehhhe... Kad ni sudah on the way pun. Aunty tunggu ya!

Ok la. Harap hari anda semua berjalan dengan baik dan lancar. Take care, semua!

Friday, April 22, 2011

Knitted cat keychain

Assalamualaikum...

Dalam dok kutuk-kutuk kucing yang buang air depan pintu rumah, kait juga bentuk kucing ni. Nak buat camana, kucing kan comel. Yang buat tak comel tu, sebab tuan dia yang tak train dia buang air di tempat sepatutnya. Hmmm... takpe. Hari ni hari Jumaat, yeah!!!!

Bubu - cubaan pertama kait kucing. Tak de rupa kucing sangat yek. 


Hei... sapa naik atas Bubu tu? Oh... jambu rupanya...


Eh, eh... Nin pun dah join sekali. Sudah pun dipasang ribbon dan keyring untuk keychain kunci anda!



Kecil saje saiz kucing-kucing ni. Harga satu cuma RM7. Sudah masuk ke online store Yati.

 

Petang ni, kami nak balik Lumut, rumah mama Yati. Boleh la try campak sat. Tak pernah cuba lagi mancing kat laut ni.
Selamat berhujung minggu pada kawan-kawan semua!! ^_^

Thursday, April 21, 2011

Kiriman dari sahabat

Assalamualaikum...

Van poslaju singgah di rumah Yati semalam. Jarang sangat van poslaju datang hantar. Selalunya, posmen saja.

Besor dan agak berat juga parcelnya. 



Tak henti-henti senyum. Barang dari Kak Nisa.Sangat terharu, suka. Umpama menang iPad 2 pula, cuma yang ini jauh lagi best! Nak tau apa ada di dalam? Jeng jeng jeng....

Macam-macam ada...!


Kiriman dari Kak Nisa terdiri daripada cross stitch sekuntum bunga dijahit sendiri oleh Kak Nisa lengkap berframe, cross stitch kit Butterfly bersama frame, lavender paper napkin (macamana nak guna ni? Sayang la, cantik sangat, Yati simpan buat kenangan ya), pattern cottage in the country (sweetnya cottage tu...!!!) , 6 glass coasters (ni pun tak boleh guna, sayang!!!), tupperware pink (boleh guna letak benang, time fishing kalau hujan, leh cross stitch dalam kereta!) , dan paling last - face towel ke atau kitchen towel ya, bercorak espresso (ternganga tengok).

Terkebil-kebil Yati membelek each barang. Sebab sini, mana ada jumpa, jadi jakun sangat ya!!! Huk huk... saya terharu!!! Terima kasih banyak pada kak Nisa!!! 

Sehingga sekarang Yati masih tak boleh stop senyum...! Jumpa cikgu Amirul di sekolah pagi tadi pun Yati senyum, padahal nak sign report card Amirul. ^_^

Wednesday, April 20, 2011

Perkongsian untuk semua

Yati terima dalam salah satu yahoo group. Semoga memberi pengajaran pada kita semua.

" Aku, Lim dan Islam

Aku punya seorang rakan baik dari zaman kanak-kanak . Lim Wei Choon. Sana-sama bersekolah rendah hingga ke peringkat menengah . Selepas SPM, aku masuk ke Tingkatan 6, manakala Lim dihantar keluarganya melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat . Kenangan sewaktu kanak-kanak hingga ke zaman remaja terlalu banyak yang dikongsi bersama .

Setiap kali hari raya menjelang, Lim pasti berkunjung ke rumah ku untuk menikmati dodol arwah ayahku yang amat digemarinya . Kadangkala, jika ada kenduri kendara dirumahku, pasti Lim akan turut serta . Aku jarang ke rumahnya kecuali umtuk beberapa sambutan seperti harijadi dan juga Tahun Baru Cina . Aku takut dengan anjing peliharaan keluarga Lim .

Dengan Lim juga aku belajar matematik manakala subjek Bahasa Malaysia sering menjadi rujukannya padaku. Kenangan-kenangan seperti memancing, mandi jeram, ponteng sekolah untuk melihat pertandingan 'breakdance', semuanya kami kongsi bersama-sama . Apa yang ingin kunyatakan ialah, warna kulit dan perbezaan agama tidak pernah menjadi penghalang persahabatan kami. 20 tahun telah berlalu, Lim telah menetap di Amerika setelah berjaya mendapat Green Card, beliau bekerja disana . Itu yang kuketahui dari kakaknya.

Hubungan ku dengan Lim terputus setelah dia melanjutkan pelajaran. Maklumlah, dizaman kami dulu tiada internet, email atau telefon bimbit, yang ada cuma sesekali menghantar poskad bertanya khabar. Untuk menulis surat kepada lelaki amat malas kami rasakan .

Suatu pagi . Aku bertembung dengan kakak Lim di pasar , kakaknya memberitahu Lim akan pulang ke tanahair . Dan aku amat terkejut dengan berita yang kudengar dari kakaknya .

" He's name is no more Lim Wei Choon . He's now Ahmad Zulfakar Lim since 5 years ago . . . Subhanallah!

Syukur Alhamdulillah, rakan baikku telah menemui hidayah dari Allah S . W . T . Memang aku tak sabar untuk berjumpa dengannya lebih-lebih lagi setelah menjadi saudara seagama denganku .

Hari yang kutunggu-tunggu telah tiba, dan petang itu aku berkesempatan bertemu dengan Lim dirumahnya . Ada satu keraian istimewa sempena menyambut kepulangannya . Ketika aku tiba, tetamu sudah semakin berkurangan . . .

Assalamualaikum . . Itulah kalimat pertama dari mulutnya, wajahnya sudah jauh berubah, air mukanya amat redup dan tenang .

Aku menjawab salam dan berpelukan dengannya dan kami menangis umpama kekasih yang sudah terlalu lama terpisah .

'Ini dia olang memang sudah manyak lama kawan, dari kecik ini dua olang" Ibu Lim menjelaskan pada beberapa orang tetamu yang melihat peristiwa kami berpelukan dan menangis itu . Tetapi aku bukan menangis kerana apa, tetapi kerana amat sebak dan terharu dan sangat bersyukur melihat keislaman rakanku. Lim mengajak aku duduk dibuaian dihalaman rumahnya untuk berbual-bual. beliau masih fasih berbahasa melayu walau sudah lama berada diperantauan .

Talha, kau kawan baik aku kan? betul  tak? . Memanglah . . Kenapa kau tanya macam tu? kalau kau kawan baik aku, Kenapa kau biarkan aku diseksa?

Sorry Lim . Aku tak faham . . diseksa? What do you mean?

Cuba kau fikir, kita ni kawan dari kecil . Aku ingat lagi, rumah kau tu, is my second house .

Tapi, mengapalah kau tak pernah ceritakan pada aku tentang Islam? Mengapa aku kena pergi ke US baru aku dapat belajar tentang Islam? Mengapa bukan di Malaysia, negara Islam ni?

Dan mengapa aku di Islam kan oleh seorang bekas paderi kristian?

Aku terdiam, kelu tak mampu menjawab . Dan Lim terus berkata-kata . Kalau betullah kau kawan baik aku, Kenapa kau cuma nak baik dengan aku di dunia saja? kau suka tengok kawan baik kau ni diseksa didalam api neraka?

Kau tahu, kalaulah aku ni tak sempat masuk islam hingga aku mati . Aku akan dakwa semua orang melayu Islam dalam kampung kita ni sebab tak sampaikan dakwah dan risalah Islam pada aku, keluarga aku dan non muslim yang lain . Kau sedar tak, kau dah diberikan nikmat besar oleh Allah dengan melahirkan kau didalam keluarga Islam. Tapi, nikmat itu bukan untuk kau nikmati seorang diri, atau untuk keluarga kau sendiri, kau dilahirkan dalam Islam adalah kerana ditugaskan untuk sampaikan Islam pada orang-orang yang dilahirkan dalam keluarga bukan Islam macam aku .

Aku masih tunduk dan terkata apa-apa kerana sangat malu . Berdakwah adalah tugas muslim yang paling utama, sebagai pewaris Nabi, penyambung Risalah .

Tetapi apa yang aku lihat, orang melayu ni tidak ada roh jihad, tak ada keinginan untuk berdakwah, macamana Allah nak tolong bangsa melayu kalau bangsa tu sendiri tak tolong agama Allah?Aku bukan nak banggakan diri aku, cuma aku kesal . . sepatutnya nikmat ini kau kena gunakan dengan betul dan tepat, kerana selagi kau belum pernah berdakwah, jangan kau fikir kau sudah bersyukur pada Allah .

Dan satu lagi, jangan dengan mudah kau cop orang-orang bukan Islam itu sebagai kafir kerana kafir itu bererti ingkar . Kalau kau dah sampaikan seruan dengan betul, kemudian mereka ingkar dan berpaling, barulah kau
boleh panggil kafir .

Aku menjadi amat malu, kerana segala apa yang dikatakan oleh Lim adalah benar! dan aku tak pernah pun terfikir selama ini . Aku hanya sibuk untuk memperbaiki amalan diri sehingga lupa pada tugasku yang sebenar .

Baru aku faham, andainya tugas berdakwah ini telak dilaksanakan, Allah akan memberikan lagi pertolongan, bantuan dan kekuatan serta mempermudahkan segala urusan dunia dan akhirat sesorang itu . Petang itu aku pulang dengan satu semangat baru. Aku ingin berdakwah!

Lim yang baru memeluk Islam selama 5 tahun itu pun telah mengislamkan lebih 20 orang termasuk adiknya. Mengapa aku yang hampir 40 tahun Islam ini (benarkah aku islam tulen) tidak pernah hatta walau seorang pun
orang bukan Islam yang pernah kusampaikan dengan serius tentang kebenaran Islam?

Semoga Allah mengampuni diriku yang tidak faham apa itu erti nikmat dilahirkan sebagai Islam . "

Fikir-fikirkan ya. Semoga bermanfaat untuk kita semua.

Rezeki hari ini

Assalamualaikum...

Alhamdulillah, rezeki kami hari ni.

Ikan keli masak tempoyak, telor dadar dan sambal belacan.


Simple je. Ikan keli tu, bukan hasil tangkapan dari mancing semalam. Tapi, hasil tangkapan dari pasar malam. Hehhe... Dulu kalau beli ikan keli sekilo dapat la 10-12 ekor. Sekarang ni, dapat 4 ekor je. Nak kata besor, takde la besor sangat.

Sambal belacan tumbuk dengan lesung. Sebelum ni, Yati selalu blend je. Belacan pun Yati tak bakor dulu. Kita bakor je, kita bakor! Tu pun kasor-kasor Yati tumbuk. Buat pengubat rindu pekena sambal belacan. Telor dadar untuk Amirul.

Ikan keli tu, yang ekor dah goreng. Sebab Amirul peberet dia, ikan keli goreng. Tapi dia makan part ekor je. Kepala dia tak reti sangat.

Alhamdulillah....

Cerita semalam, kami ada pergi mancing. Cuba kat sungai pula. Tepi sungai kat on the way to Malim Nawar tu. Namun, tiada hasil tangkapan. Cuma pengalaman kaki dinaik pacat! Yer.... sungguh ku sangka, ada pacat. Gambar pacat kat selipar ada Yati tangkap, guna handphone. Tak MMS lagi ke email. Kabel dah hilang daaa...

Sehingga kami jumpa tempat yang sesuai, maka tak adalah cerita fishing lagi buat sementara waktu ni. Semalam pula hujan, jadi balik awal. Yati pula gastrik. Bukannya Yati tak makan tengahari tu, tapi nak diet punya pasal, Yati makan sayur sahaja. Nasi tak makan. Time pukul 5, perut dah lapor. Bila makan sekeping roti, terus sakit perut, sampai ke malam. Seksa la... sebab dah lama tak jogging, tu ingat nak control makan. Hmmm... kena makan nasi juga.

Sekian dulu. Kata-kata hikmah hari ni, "Fikiran menjadi sesuatu". Oleh itu, fikir la yang baik-baik, dan yang yang baik tu akan datang pada kita. ^_^

Monday, April 18, 2011

Cerita mancing semalam

Assalamualaikum....

Hari Sabtu, kami lepak kat rumah je. Hari Ahad baru pergi mancing. Tapi kan... ha... ni nak cerita ni. Tempat kami selalu mancing tu. Yang baling je, ikan tangkap tu, dah tak boleh masuk dah. Dia dah letak pagar, tak kasi orang masuk. Boring betul.

Walau pun lombong banyak, tapi banyak yang orang sini panggil, tanah tol. Tanah kerajaan yang diberi pada orang yang mohon untuk diusahakan. Ada kawasan lombong luas sangat, dia buat kolam itik kat satu sudut lombong je, tapi habis semua kawasan lombong dia letak pagar, tak kasi orang masuk.

Hmmm.... takde rezeki mancing semalam. Ada lah dalam 5 tempat kami pergi lepas tu, cari tempat sesuai. Pergi kat kolam dekat stesen keretapi Batu Gajah, tak sesuai, sebab ada pacat, ada nyamuk. Kalau kami je pi takpe la. Tapi sebab anak-anak pun kami angkut sekali, tak boleh la. Kat satu sudut lain di kolam tu juga, kami pi, curam pula. Takde tempat piknik, letak tikar. Hehhe...

Lepas tu pergi tepi sungat Batu Gajah pula, dekat restoran nasi lemak ayam golek tu, tak sesuai juga, ada orang 'minum' bawah jambatan. Dekat Tronoh, kami pergi belakang tempat lori pasir selalu masuk. Hujan pula, walau pun tempat tu dah sesuai. Tapi ikan pulak takde. Kerbau ada la, mandi dalam lombong.

Pergi kat kawasan perumahan baru di Tronoh tu, ada orang pancing situ kata, situ ada ikan lampang. Lampang ke, lempang... hehhe.. tapi dalam 2-3 hari ni, takde pula ikan. Pulak.... Hmmmm... itu la dia, tak habis pun umpan kami guna. Mata kail je dah habis 2, Yati punya saje. Sebab sangkut kat kayu.

Ish... deme ni, tak tau la aktiviti haram apa deme buat. Pasang jala kat lobong, yang melombong emas ke bijih ke, kami tak tau la, pun ada. Ntah ada permit ke tak. 

 Itu la ceritanya. Misi memancing semalam, tidak berjaya, takde rezeki. Esok, cadang nak pergi pula. Esok Perak cuti ya. Jangan jeles, kawan-kawan semua. Cuti Hari Keputeraan Sultan Perak. ^_^

Tak bestnya. Takde gambar ikan. Ni Yati share sikit apa yang Yati sedang kait. Takde kaitan langsung dengan tajuk entri. Gambor belakang je la ye.

Menatang apa tu yek..

Lain hari Yati cerita projek kait Yati ni. Masih knit. Belajar crochet takde progress lagi setakat ini. 

Selamat bekerja semua! Esok orang Perak cuti. Yahoo...!! ^_^

Friday, April 15, 2011

Pink and black knitted coin purse


Bukaan zip.
Cotton lining di dalam.
Dua layer knitted flower di atas.
Size: 9 cm X 8 cm

Comel je saiz dia.
Sementara tak ada tempahan cross stitch atau keychain ni, boleh la buat misi menambah stok kedai.
Lepas ni, nak pengsan jap. Sebab banyak bebenor kerja buat hari ni.

Semoga kawan-kawan semua ceria dan dapat menghabis masa berkualiti bersama keluarga di hujung minggu ni. Selamat yek. ^_^

Felt keychain

Assalamualaikum...
Hari ni bangun pagi buta, pukul 2 pagi untuk print out pattern dan proses beberapa order. Alhamdulillah..

Ini order baru-baru ni oleh seorang customer dari Kuantan.

Felt keychain - Bunga-bunga ceria



Tiada jumlah minumum Yati tetapkan untuk tempahan keychain. Kalau order sebiji pun, Yati hantar juga. Satu keychain RM3 sahaja tak termasuk kos pos.

Kalau ada yang nak tengok design-design keychain yang pernah dihasilkan, sila la ke online store Yati.


Atau boleh juga ke fanpage Yati di Facebook.

Hari ni sudah pun hari Jumaat. Sangat cepat masa berlalu. 

Thursday, April 14, 2011

Award dari Kak Yus!

Hehhe... hari ni dalam sejarah, Yati dapat 2 award! Kena tampal juga, sebab award ni special sikit. Tara....


Pernahkah kawan-kawan sekalian dapat award, ada muka sendiri? Ha! Terharu saya... Terima kasih, Kak Yus, atas usaha create award ni untuk pengomen terbanyak di blog Kak Yus. Rajin betul. Yati tempat kedua je. Jadi setiap pengomen terbanyak, lain-lain awardnya. Unik. 

Terima kasih sekali lagi pada Kak Yus. Yati suka baca sebab Kak Yus juga sama macam Yati, surirumah. Yati suka baca pengalaman orang dan tengok tempat orang. Tengok video Arif, anak bongsu Kak Yus, boleh ubat mood bila kita sedih. Juga, banyak benda la kita boleh tahu dan tambah ilmu perkara yang kita tak tau.

Thanks, kak Yus, Yati suka! ^_^

Award dari kakyong


Terima kasih pada kakyong, sudi bagi award ni pada Yati. ^_^

Syarat One Lovely Blog Award ni ialah, kita kena share 7 perkara random tentang diri sendiri. 

Ok, la, meh Yati cerita ya...

1) Yati ada 2 orang kakak. Kami cuma 3 orang adik beradik perempuan. Takde adik lelaki mahu pun abang. Jadi, masa Yati lahirkan anak pertama seorang lelaki, Amirul, masa pantang, kekok sangat. Contohnya lepas mandi baby, baby sejuk, kalau pakaikan pampers lambat, dia pancut je. Dah banyak kali kena, tiga-tiga anak Yati kan lelaki. Kalau kakak tolong jaga, mama ke yang tolong jaga, selalu kena, waktu dia orang kecik la. Kena pancutan kat muka, kat baju, dah jadi perkara biasa. Tapi bila dah anak dah kedua dan ketiga tu, dah standby la, get ready protection masa nak pakaikan lampin atau pun get ready semua barang baby dekat. Jadi tak buang masa siapkan baby lepas mandi.

Gambar keluarga Yati masa raya 2009. Paling depan Sulaiman, Amirul dan Hafizan. Yati pangku Sulaiman, Encik Abe pangku Hafizan. Tengah, mama dan papa Yati. Belakang, kakak tengah, abang Rosham (brother-in-law) dan kakak sulong. Kakak tengah saya masih available (cikgu English). Sapa nak, sila isi borang. Hehhe... gurau je.

2) Yati suka pokok. Terutamanya pokok besar. Suka tengok, suka peluk, suka duduk bawah pokok. Hati rasa sangat tenteram.

3) Yati bukan la pelajar paling pandai di kelas. Tapi ada sedikit rajin dalam diri Yati ni. Dari darjah 1 hingga Tingkatan 5, buku atau pun kerja sekolah Yati selalu dijadikan contoh. Cikgu akan tayangkan to the whole class, "Ha... tengok ni, kemas je tulisan. Tak perlu warna pun. Tapi kemas sahaja. Ini baru bagus!" Ada juga yang cikgu tak suruh buat cara tu, tapi Yati fikirkan cara lain present kerja Yati dengan cara lebih menarik. Pun selalu dapat pujian, A+, Well Done. Kita tak leh lawan dari segi akademik dapat nombor 1, tapi bab rajin, bior la kita dapat nombor 1. Kalau fikiran cikgu serabut tanda banyak buku tapi sebab kerja kita sedap mata memandang, maka itu pun dah cukup baik bagi Yati.

4) Lepas SPM, Yati diterima masuk ke kursus persediaan ke universiti US, ambil major in Mathematics. Tapi itu adalah kali pertama Yati berjauhan dengan keluarga. Family di PJ, study di Kuantan. Homesick! Hehhe.. kelakor je. Nak buat camana. Yati anak bongsu. Ada manja sikit. Yati pun tak sangka dapat offer buat persediaan ke US tu. Yati study last minute masa SPM. Esok paper, hari ni baru Yati buka buku. Yati tak study, cuma Yati jawap soalan peperiksaan. Yati cakap kat mama, kalau dapat SAP, camana. Mama kata, kawin je la, Yati. Tengok-tengok dapat grade 1, bila dapat masuk study Kuantan tu, Yati tak leh buat. Hmmm, sebab tak leh la study, satu sebab subjek susah (sebenornya homesick), walau pun Math dan Add Maths tu takde masalah la pada Yati. Tapi bila masuk sana, buku semua English, tebal-tebal, jadi kepala block. Terus keluar. Kena bayor balik MARA, dah langsai lama dah. Kalau dapat ku undurkan putaran dunia, Yati nak buat betul-betul masa SPM. Tak nak tengok wayang masa SPM. Jahat betul aku. Bila dapat peluang belajor, nak belajor betul-betul.

5) Alhamdulillah, walau pun keluar dari kolej kat Kuantan tu, next intake dapat masuk Uitm Jengka, Pahang. Pastu sambung pula kat KL. Tuhan banyak tolong, walau pun Yati banyak main-main waktu muda remaja dulu. Dulu Yati gila Kurt Cobain. Nirvana tu la. Boleh percaya tak? Hehhe... grunge giler. Tapi sekarang dah balik ke pangkal jalan.

6) Amirul Yati lahirkan secara ceasarean. Hafizan dan Sulaiman secara normal. Waktu pregnant Amirul dulu, tak buat kerja pun. Exercise pun tidak. Duduk buat cross stitch je. Kepala baby dah terlekat kat tulang paling bawah, jadi kepala tak nak turun bawah. Terus kena ceasar. Mahal bebenor wei... pastu nekad apa pun jadi, nak beranak normal juga. Tu tunggu lepas 3 tahun baru Hafizan keluar. Itu pun masa Hafizan, kena guna vakuum, sebab Yati tak tau push. Masa Sulaiman je doktor puji, ha, sudah pandai push. Untuk ketiga-tiga kelahiran, doktor sama yang sambut. Dan Encik Abe setia di sisi waktu operate mahu pun normal. :)

7) Masa sekolah rendah dari darjah 1 sampai 4, Yati ganas. Kalau budak lelaki bising dalam kelas, Yati pukul dengan pembaris kayu cikgu. Yati dulu kalau tak jadi ketua kelas, jadi penolong ketua kelas. Pengawas je tak pernah jadi. Kalau ada budak lelaki kacau kawan Yati, Yati bagi sebijik, tampar kat belakang badan. Kalau orang challenge Yati, oi, nak cari gaduh ke. Yati set je. Yati lawan balik, tak takut langsung. Tapi dia orang tu setakat gertak je, bukan berani lawan pun dengan Yati. Berani lawan dengan Yati? Nanti Yati report cikgu. Hehhe... pastu bila pindah, darjah 5 dan 6 ke sekolah perempuan sahaja, takde lelaki, baru la Yati belajor jadi lebih perempuan. Sekolah perempuan saja sangat best. Kalau Pendidikan Jasmani, tak yah pi toilet salin baju, boleh salin dalam kelas je. Kenangan betul.

Ops, dah cukup 7 benda tentang Yati secara rawak. Seterusnya, Yati nak tag...... ha, korang la, ye, anda yang sedang baca entri ni, kalau takde benda lain nak buat, tengah free, sila la ambil award ni ya. Kalau ada yang buat, bagitau Yati ya, supaya Yati juga dapat kenal kawan-kawan semua. ^_^

Wednesday, April 13, 2011

Macam-macam hal

Dalam minggu ni, ada kucing tumpang tidor depan pintu rumah. Agaknya selesa, kat situ. Ada lapik kaki yang tebal. Bila kucing betina tidor situ, maka kucing jantan pun datang menempel sekali. Kucing jantan tak sah kalu tak 'tanda territory' dia. Maka bila buka pintu rumah, boleh la bau hancing kucing kencing. 

Sulaiman, 2 tahun, suka bawak 'blankie' dia pergi mana-mana, hatta ke luar rumah sekali pun. Lebih kurang macam kawan Charlie Brown tu la.


Akibatnya, badan Sulaiman naik gatal-gatal.


Sudah pergi klinik 3 hari lepas. Sebab Sulaiman susah nak makan ubat, jadi tak baik lagi. Nak bagi dia makan ubat, macam nak tangkap ayam tau. Kena kepung sana, kepung sini. Tak termasuk kena wrestling lagi. Sebab dia tak makan ubat, kami sapu ubat nona roguy. Baik, redakan kegatalan dia. Tapi nanti, naik kat tempat lain pula, kat kaki pula, kat tangan pula.


Semalam, Yati bersihkan semuanya. Kawasan depan pintu, depan rumah, lap dengan floor cleaner, bagi hilang bau, spray dengan odour eliminator lagi, basuh tuala, basuh lapik kaki, segala selimut, kain, tuala, Sulaiman pakai. 

Mama Yati panggil gatal ni, 'kelkata' ke, apa ntah, lebih kurang. Sebab Yati dulu pun kena juga, masa Yati buang najis kucing kat depan rumah. 

Bila kita sound orang, orang masam muka kat kita. Tapi bila kita tak sound orang, anak kita gatal-gatal. Kalau la orang tau yang bela kucing ni umpama menjaga anak. Ini bukan kawasan kampung. Bukan saja kena bagi kasih sayang pada kucing, tapi kena mendidik juga kucing tu, supaya tak 'buang' merata-rata dan menyusahkan orang lain. Jangan cakap bahawa ini tabiat semulajadi kucing, sebab Yati pernah tengok sendiri kucing yang buang air dalam bilik air setelah diajar sejak kecik untuk buang di situ. Tak pun, beli la pasir kucing tu, yang khas untuk hasil buangan kucing tu. Lebih hygenic, kot ya nak bela pun.

Hal yang seterusnya.....

Yati tak tau nak cakap lega ke, apa ke. Yati sudah pun telefon Astro semalam, dan tamatkan perkhidmatan Astro. Notis 1 bulan. 

Yati tak nafikan, Yati buat keputusan tu dalam keadaan marah. Tapi memang sudah lama niat tutup astro tu ada dalam kepala dan sudah dibincangkan dengan Encik Abe. Cuma semalam tindakan nekad Yati buat Amirul masam muka.

Bila Yati buat kerja rumah, Yati harapkan Amirul untuk tolong tengok-tengok kan adiknya. Tapi hampa. Sulaiman buat projek main bedak. Bedak talkum, habis on the floor, kat ruang tamu tu. Amirul sikit pun tak tegah adik dia. 

Bila disapu saje, lantai masih licin, jadi nak tak nak, Yati lap dalam rumah pula. Dari ruang tamu sampai ke dapur. Sebab kesan tapak kaki dia orang. 

Main bedak satu hal, Sulaiman boleh potong rambut Hafizan kat tengah. Dah botak kat tengah. Depan dan belakang ada rambut. Dok leka tengok tv sangat. Dia biar je Sulaiman potong rambut dia

Lepas Yati siap kerja mengelap, Yati called Astro terus. Walau pun sebahagian dari Yati rasa ok, sebab sekurang-kurangnya, dapat jimat 50 ringgit sebulan. Tapi setengah lagi rasa tak best, sebab anak-anak tak suka apa yang telah Yati buat. Yati buat sebab sayangkan dia orang. 

Yati slow talk dengan Hafizan semalam dan dia quite ok dengan semua. Dan Yati rasa dia pun akan ok. Hafizan macam victim dalam situasi ni. Hafizan tak kan tengok astro selagi homework dia tak siap, unlike Amirul, tak berganjak depan tv selagi Yati tak off tv atau jerit macam tarzan.

Deep down Yati rasa kami akan manage tanpa astro. Yati sudah pun plan untuk pergi public library sini bila free. Untuk pinjam buku. Kami akan lebih membaca dan kurang menonton tv. Sebab dari result periksa Amirul hari tu, dia dapat A dalam semua subjek, kecuali untuk bahasa melayu pemahaman dan penulisan, dia dapat B. Jadi, kami akan lebihkan membaca, especially Amirul, buku-buku dalam bahasa melayu.

Yati tak nafikan nick junior dan playhouse disney channel kat astro tu bagus. Sebab Hafizan banyak belajar english dari situ. Hafizan sebut button pun as 'butt-N', macam slang british. Tapi rasanya kami boleh hidup tanpa astro. 

Langkah berjimat memang perlu bila Encik Abe baru saja dapat surat. Concerning rumah kami di KL. Kena tukar nama. Dan kena legal fees juga. Tapi sebab kami dah lama tak jenguk rumah KL, kami terlewat, sudah habis tempoh untuk tukar nama, ada penalty pula dikenakan, tak campur government tax lagi. Legal fees pun ada juga government tax, bukan Astro sahaja. Makan ribu riban juga. Tengok, takde rumah sendiri, susah, ada rumah sendiri pun susah.

Tapi kami akan usaha cari jalan macamana dan fikir positif. Bukan setakat bercakap, tapi buat terus langkap wajar untuk jimat mana yang patut. Wish us luck, kawan-kawan. ^_^

P/S: Ada rumah kengkawan tak sempat blogwalking lagi. Semalam, pengsan, lap rumah, layan karenah anak buat betul-betul rasa kurang best. Tapi hari ni dah ok, nanti Yati singgah yek. :D

Monday, April 11, 2011

Thank you, Nuffnang!

Suka. Alhamdulillah. Buat julung-julung kalinya berjaya cash-out hasil nuffnang. Walau pun tak berapa banyak dibandingkan dengan kawan-kawan yang lain.


Sudah berblog sejak 2007. Baru sekarang dapat cash-out. Hehhe...
Alhamdulillah. Terima kasih pada kawan-kawan yang ada klik nuffnang kat blog Yati ni. Yati pun ada juga klik kat blog kawan-kawan, cuma Yati tak cakap. Kang dapat email fraud click pula. 

Saya suka! ^_^

Sunday, April 10, 2011

Gift dari Hanie

Yati selamat terima gift dari Hanie ni hari Jumaat baru ni. Hanie satu family pergi holiday ke Bandar Ho Chi Minh, Vietnam, dan dengan murah hatinya memberi giveaway kepada 10 pengomen terbanyak di blognya. 
Ini la dia...

Gambar pemandangan. Nampak macam lukisan, tapi sejenis sulaman sebenornya.


Meh kita tengok dekat sikit.


Ha, kan benang tu. Disulam sedemikian rupa jadi gambar. Ntah macamana orang Vietnam ni buat yek. Kreatif deme ni. Lawa, kan? Terima kasih banyak, Hanie. Nanti Yati pergi framekan, boleh gantung.

Cerita fishing kami semalam pula. Hujan, jadi kami fishing sat je. Yati dengan Hafizan dan Sulaiman duduk dalam kereta. Amirul dah Encik Abe yang fishing. Dapat 10 ekor juga. Yang bestnya, 4 ikan besor, lebih besor daripada biasa kami tangkap. Berbaloi le, Encik Abe tukor tali pancing baru, lebih panjang. Sekali baling, sampai ke tengah kolam ha...

Yati tak ambik gambar ikan. Takut korang boring pula, asal hari Sabtu, cerita mancing, gambar ikan. Boring tak?
Sekian la cerita hari ni. Selamat beristirehat di hujung minggu ni pada semua kengkawan. ^_^

Saturday, April 09, 2011

Giveaway dari Roshey's Craftworld

Assalamualaikum....!

Yati nak join giveaway oleh Roshey's Craftworld ni.

Syarat-syaratnya ialah, kena follow blog kak Rosh. Ok, dah lama dah Yati follow. :)

Tulis entri tentang giveaway. Ok, ni sudah. Kalau tak tulis pun takpe. Kalau tulis entri, dapat 2 cabutan. Yihaaa!
Syarat ketiga, kena identify Kak Rosh dalam gambarnya masa Form 1 di bawah.


Yati teka la ye. Kalau salah, mintak maap, Kak Rosh. Akak duduk di barisan hadapan. 2 dari kiri, seperti gambar di bawah.



Ada harapan menang ka? Hehhe...
Ok, sekian.

Friday, April 08, 2011

Cross stitch nama

Alhamdulillah, sudah siap pun. Sudah on the way pada tuannya. 

Terima kasih pada Nurul Yaqin, KL, yang order cross stitch nama untuk anaknya.



Nampak simple je. Cuma nama dan border. Tapi ada backstitch pada border bunga-bunga kecil tu dan nama. Harap Nurul suka.


Lepas ni dah tak ada order projek jahit. Jadi, boleh knit. Rindu, sebab dah lama tak mengait. 

Besok hari Sabtu. Nak pergi fishing ke tak lagi. Encik Abe kata, nak, sebab dia nak try tali pancing baru pasang. Lagi panjang. Boleh la baling sampai ke tengah. Tepi-tepi ni, ikan kecik je yang makan. Hahaha.... ye la tu. Kang belum sempat tarik, ikan dah terlepas sebab tali panjang sangat. Huhu... kita tengok je la. Juga bergantung pada cuaca juga. Kalau hujan, fishing apa ke bendanya.

Selamat berhujung minggu, kawan-kawan! ^_^

Thursday, April 07, 2011

Ninja

Hafizan, anak kedua Yati, 5 tahun.

Bukan ninja turtle. Tapi ninja Hafizan. Hafizan sekarang dah jauh berubah. Lebih baik dari abangnya, Amirul. Hafizan tak perlu disuruh buat homework. Dia akan buat sendiri. Buka buku sendiri. 

Boleh main dengan Sulaiman dengan baik. Tak banyak karenah Hafizan ni. Dia ikut je apa kita suruh.

Peberet dia, ultraman, pistol dan semenjak dua menjak ni, dia suka pakai topeng ninja ni. Pergi fishing hari tu pun dia pakai. Bila tanya, tak peluh ke? Peluh.. huhu, baru tanggal.

Baru-baru ni Hafizan pergi sekolah, balik je mulut muncung. Dia bawak motor kecik mainan dalam poket baju sekolah dia. Hafizan kata, cikgu dah ambil motor mainan tu. La, sapa suruh main masa cikgu mengajar. Rupanya bukan dia yang main, kawan dia yang main. Sudahnya, Encik Abe kena pergi sekolah ambil motor tu, sebab takut dia merajuk tak nak pergi sekolah pulak esoknya. 

Cikgunya kata, la, ni ha tuannya, tadi yang mainnya orang lain.

Satu je, Hafizan ni kurang makan nasi. Nak fries je. Minum susu dalam botol lagi, bila balik sekolah. 

Hafizan, Hafizan. ^_^

Wednesday, April 06, 2011

Fishing lagi...

Hari Sabtu lepas, kami pergi memancing lagi. Tempat kami piknik hari tu ada orang pula, jadi kami pergi tempat lain. Antara cabarannya, Encik Abe telah berlawan dengan kambing biri-biri jantan yang secara tiba-tiba datang ke tempat kami. Tak takut orang sungguh kambing tu. Dah halau pun. Dia siap nak sondol Encik Abe, walau pun takde tanduk.

Tak sempat ambil gambar kambing tu. Sebab Yati telah membawa lari anak-anak ke tempat selamat. Serius tau, kambing biri-biri jantan tu lebih tinggi dari Sulaiman dan tak comel langsung tau, bukan macam Shawn the Sheep tu. 

Shawn the sheep dengan hobinya.

Setelah Encik Abe berjaya menghalau 2 ekor kambing biri-biri tersebut dengan jayanya, baru la kami mula memancing.

Kawan-kawan yang saya hormati sekalian,
adakah anda pernah mendengar pantang larang orang cina yang mengatakan bahawa sekiranya orang perempuan sedang 'naik bendera jepun' maka tak usah lah pergi memancing? 

Yati tidak mempedulikan pantang larang tu dah hasilnya, hanya berjaya menangkap 3 ekor sahaja ikan. Sekurang-kurangnya ada juga, daripada tak dapat ikan langsung.

Manakala Encik Abe pula berjaya membalas dendam untuk mengatasi rekod bilangan ikan berjaya dipancing, dan berjaya menangkap sebanyak.....

....











......


20 ekor ikan ya! Sangat jeles saya ok! Walau pun umpan cengkerik sudah habis dikerjakan, dia telah menggumpal-gumpal secubit roti gardenia lalu mencampaknya, dan ikan besar pun makan, i tell you!

Berikut hasil tangkapan kami pada hari Sabtu lepas,

23 ekor ikan flowerhorn spesis talapia.


Sudah pun Yati buat asam pedas pada hari Ahad. Sudah buat kari pada hari Selasa. Sudah goreng sebahagiannya untuk anak-anak. 

Sekian laporan aktiviti memancing kami. Bertemu lagi di lain masa.

Take care semua!

Monday, April 04, 2011

Stitch-a-photo oleh Sue

Semalam lepas tengok ABPBH, tengok cerita Setan Budeg pula. Cerita hantu Indonesia. Pukul 12 malam start. Tengok buat kali kedua. Pun tengah cerita, tertidor juga. Pastu bila Sulaiman bangun pagi buta, gerak Encik Abe pi tengok Sulaiman. Terus dia tertidor dengan budak-budak. Pastu Yati boleh terkebil-kebil pukul 2 pagi tu. Rasa nafas orang kat telinga la. Rasa orang lari kat dapur la. Dengor bunyi orang jalan kat luar rumah la. Ni yang malas tengok cerita hantu ni. Time tengok tak takut, tapi pengalaman pasca tonton tu lebih menggerunkan.

Dalam jantung dok dup dap dup dap tu, imagine dok tepi laut, sambil minum air kelapa. Nasib baik lepas tu dapat tidor juga akhirnya. Padan muka, tengok lagi cerita hantu.

Hari ni, Yati nak share satu lagi hasil jahitan dari seorang pelanggan Yati & Stitch. Sue dari Johor. Sue bagi gambar, Yati convert kepada pattern cross stitch, dan Sue jahit sendiri.

photo --> pattern --> cross stitch


Di sini juga Yati nak maklumkan, mulai 1 April 2011, harga pattern stitch-a-photo ni ialah RM30. Harga lama RM25. Bukan saje nak naik. Tapi sebab harga ink printer yang naik dengan tingginya, sampai terkejut beruk saya bila  pi beli hari tu. Harap para pelanggan semua memahami.

Apa cerita kawan-kawan hari ni? Hari ni hari Isnin, bekerja la kita sekuatnya!  ^_^